Harimau Bengal tergolong dalam kerajaan haiwan dalam filum kordata (bersaraf tunjang), sub-filum vertebrata (bertulang belakang), kelas mamalia (berdarah panas, berbulu dengan kelenjar menyusu), susunan maging (Carnivor), keluarga felidae (kucing), genus panthera, spesies tigris (harimau), sub-spesies Panthera tigris tigris.
Harimau dipercayai berasal daripada sejenis haiwan pemangsa zaman purba yang dikenali sebagai Miacids. Miacids hidup pada akhir zaman Cretaceous kira-kira 7065 juta tahun dahulu semasa zaman dinosaur di Asia Barat (Andrew Kitchener, "The Natural History of Wild Cats"). Sulur-galur harimau kemudiannya berkembang di kawasan timur Asia di China dan Siberia sebelum berpecah dua, satunya bergerak ke arah hutan Asia Tengah ke barat dan baratdaya menjadi harimau Caspian. Sebahagian lagi bergerak dari Asia Tengah ke arah kawasan pergunungan barat, dan seterusnya ke Asia tenggara dan kepulauan Indonesia, sebahagiannya ke barat sehingga ke India (Hemmer,1987)
Dalam spesies harimau modern, terdapat lima sub-spesies harimau dalam Genus Panthera yang masih hidup pada masa sekarang dari jumlah asal lapan sub-spesies harimau moden. Tiga sub-spesies harimau yang selebihnya telah pun dianggap pupus secara rasmi.
Harimau Bengal atau Panthera tigris tigris, terdapat dikawasan hutan hujan dan kawasan padang rumput di India, Cina, Bangladesh, Bhutan, dan Nepal. Kebanyakan daripada populasi harimau Bengal ini hidup dalam negara India. Harimau Bengal didapati boleh menyesuaikan diri dengan pelbagai habitan yang terdiri daripada hutan bakau Sunderbands, rumput berpaya, kawasan bukit-bukau yang kontang di semenanjung India, hutan hujan India Utara, dan hutan kering (arid forest) Rajasthan.
Dianggarkan hanya terdapat 3,159 hingga 4,715 harimau sub-spesies Panthera tigris tigris yang masih hidup liar, dan terdapat juga lebih kurang 333 ekor lagi yang dipelihara di dalam zoo di India. ( tahun 2000)
Harimau Bengal lebih cerah dan besar sedikit daripada harimau Indochina. Selain itu harimau Bengal juga mempunyai belang yang lebih tebal dan panjang daripada harimau indochina. Harimau Bengal jantan mempunyai panjang purata 2.9 meter (9 1/2 kaki) dari kepala hingga ke hujung ekor dengan berat purata 220 kilogram (480 paun). Harimau Bengal betina pula berukuran 2.5 meter (8 kaki) panjang dengan berat 150 kilogram (300 paun). Harimau Bengal pada kebiasaannya memburu rusa, dan kerbau liar. Harimau Bengal dianggarkan memerlukan kawasan seluas 30-105 kilometer persegi (11.7-40.5 batu persegi), untuk seekor harimau Bengal jantan dan 10 - 39 kilometer persegi (3.9-15 batu persegi) untuk seekor harimau Bengal betina bagi keadaan optima (Sunquist 1981). Keadaan optima termasuk kawasan tersebut tidak dicerobohi atau berpecah-pecah (fragmented), dan mempunyai haiwan buruan yang mencukupi. Seekor harimau Bengal betina memerlukan 13 kilogram daging setiap hari untuk hidup, ataupun 4,700 kilogram daging setiap tahun. Seekor harimau Bengal betina dengan 2 anak pula memerlukan 6,800 kilogram daging, bersamaan dengan 70 ekor haiwan mangsa setiap tahun.
Selain itu, terdapat juga harimau Bengal putih yang merupakan kelainan warna bagi spesies harimau Bengal secara genetik dan bukannya disebabkan keadaan albino. Harimau putih amat jarang dijumpai dan hanya terdapat bagi spesies harimau Bengal pada masa kini. Harimau Bengal putih juga amat jarang dijumpai hidup meliar. Sepanjang 100 tahun hanya lebih kurang sedozen harimau putih dilapurkan di India dan hanya untuk sub-spesies Bengal membuktikan mutasi ini berlaku satu bagi setiap 10,000 kelahiran dihutan.
Zoo-zoo India telah memulakan pembiakan harimau semenjak 1880 di Zoo Alipore di Culcutta. Sehinga kini program pembiakan harimau Bengal ini amat berjaya menyebabkan jumlah yang terdapat pada masa kini agak sukar untuk dipelihara di zoo disebabkan kos pembelaan yang tinggi. Malangnya sebahagian daripadanya merupakan campuran dengan harimau dari sub-spesies lain yang dibawa masuk ke India menyebabkan kebanyakan harimau di zoo mempunyai darah kacukan dan tidak sesuai untuk tujuan pengekalan sub-spesies. Anggaran harimau Bengal tulin yang terdapat di dalam zoo pada tahun 1997 adalah 210 ekor. Kesemuanya terdapat di zoo di India kecuali seekor harimau Bengal betina yang terdapat di Amerika Syarikat.
Pencerobohan kawasan yang dihuni oleh harimau Bengal yang disebabkan oleh pembangunan, dan pertanian menyebabkan kewujupan harimau Bengal semakin tertekan. Walaupun harimau dianggap sebagai haiwan yang perkasa dan menjadi lambang kegagahan dan keberanian, kesemua spesies harimau kini berhadapan dengan ancaman untuk terus hidup. Sekiranya tidak ada sesiapa yang bertindak untuk menyelamatkan mereka, harimau Bengal akan tinggal nama sahaja di masa akan datang.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar