Harimau Indochina tergolong dalam kerajaan haiwan dalam filum kordata (bersaraf tunjang), sub-filum vertebrata (bertulang belakang), kelas mamalia (berdarah panas, berbulu dengan kelenjar menyusu), susunan maging (Carnivor), keluarga felidae (kucing), genus panthera, spesies tigris (harimau), sub-spesies Panthera tigris corbetti.
Harimau dipercayai berasal daripada sejenis haiwan pemangsa zaman purba yang dikenali sebagai Miacids. Miacids hidup pada akhir zaman Cretaceous kira-kira 7065 juta tahun dahulu semasa zaman dinosaur di Asia Barat (Andrew Kitchener, "The Natural History of Wild Cats"). Sulur-galur harimau kemudiannya berkembang di kawasan timur Asia di China dan Siberia sebelum berpecah dua, satunya bergerak ke arah hutan Asia Tengah ke barat dan baratdaya menjadi harimau Caspian. Sebahagian lagi bergerak dari Asia Tengah ke arah kawasan pergunungan barat, dan seterusnya ke Asia tenggara dan kepulauan Indonesia, sebahagiannya ke barat sehingga ke India (Hemmer,1987)
Dalam spesies harimau modern, terdapat lima sub-spesies harimau dalam Genus Panthera yang masih hidup pada masa sekarang dari jumlah asal lapan sub-spesies harimau moden. Tiga sub-spesies harimau yang selebihnya telah pun dianggap pupus secara rasmi.
Harimau Indochina atau Panthera tigris corbetti, terdapat dikawasan hutan tropika dan kawasan padang rumput di Malaysia, Myanmar (Burma), Kemboja, Laos, Thailand, Cina, dan Vietnam. Di kawasan ini, harimau Indochina selalunya tinggal dikawasan hutan terpencil yang berbukit atau di banjaran gunung, yang kebanyakannya terletak di sempadan negara berlainan. Disebabkan kebanyakannya terletak di sempadan negara, tidak banyak kajian mengenai harimau Indochina liar dapat dijalankan disebabkan kawasan sempadan merupakan kawasan terkawal dan tidak dapat dimasuki sewenang-wenangnya.
Kegiatan pihak penentang bersenjata kerajaan dan konsortium pengedar dadah yang bergerak aktif dikawasan sempadan, contohnya di kawasan segi tiga emas, secara tidak langsung memudahkan senjata api didapati dikawasan sempadan. Jumlah senjata api yang banyak ini telah menggalakkan lagi kegiatam pemburuan haram secara persendirian ataupun sebagai sumber kewangan pihak pemberontak dan pengedar dadah tersebut, dengan itu menambah bahawa ancaman kepupusan kepada harimau. Dianggarkan hanya terdapat 1,000 - 1,800 harimau sub spesies Panthera tigris corbetti yang masih hidup liar, dan terdapat juga 50 hingga 70 ekor lagi yang dipelihara di dalam zoo Asia dan Amerika Syarikat.
Harimau Indochina lebih gelap dan kecil sedikit daripada harimau Bengal. Selain itu harimau Indochina juga mempunyai belang yang lebih halus dan pendek. Harimau Indochina jantan mempunyai panjang purata 2.7 meter (9 kaki) dari kepala hingga ke hujung ekor dengan berat purata 180 kilogram (400 paun). Harimau Indochina memburu babi liar, rusa, dan kerbau liar. Harimau Indochina dianggarkan memerlukan kawasan seluas 100 kilometer persegi (39 batu persegi), untuk setiap 4 hingga 5 ekor harimau dewasa dalam keadan optima. Keadaan optima termasuk kawasan tersebut tidak dicerobohi atau berpecah-pecah (fragmented), dan mempunyai haiwan buruan yang mencukupi.
Pada bulan Julai 1995, beberapa agensi hidupan liar dan zoo dari Malaysia, Vietnam, Laos, Kemboja, Myanmar, dan Singapore telah berbincang mengenai analisa asal harimau di zoo dan peranan zoo dalam menyokong pembiakan harimau liar, di Organisasi Taman Zoologi (Zoological Parks Organization), Thailand. Pada masa ini hanya empat ekor harimau Indochina dalam kurungan telah membiak dan diharapkan ini dapat diperbesarkan di masa akan datang. Diharapkan langkah sebegini akan menggalakkan lagi perbincangan dan aktiviti menyelamatkan harimau sub-spesies Indochina daripada terhapus sama sekali dari muka bumi ini.
Pencerobohan kawasan yang dihuni oleh harimau Indochina yang disebabkan oleh pembangunan, dan pertanian menyebabkan kewujupan harimau Indochina semakin tertekan. Walaupun harimau dianggap sebagai haiwan yang perkasa dan menjadi lambang kegagahan dan keberanian, kesemua spesies harimau kini berhadapan dengan ancaman untuk terus hidup. Sekiranya tidak ada sesiapa yang bertindak untuk menyelamatkan mereka, harimau Indochina akan tinggal nama sahaja dimasa akan datang.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar