Harimau Cina Selatan (amoy), tergolong dalam kerajaan haiwan dalam filum kordata (bersaraf tunjang), sub-filum vertebrata (bertulang belakang), kelas mamalia (berdarah panas, berbulu dengan kelenjar menyusu), susunan maging (Carnivor), keluarga felidae (kucing), genus panthera, spesies tigris (harimau), sub-spesies Panthera tigris amoyensis.
Harimau dipercayai berasal daripada sejenis haiwan pemangsa zaman purba yang dikenali sebagai Miacids. Miacids hidup pada akhir zaman Cretaceous kira-kira 7065 juta tahun dahulu semasa zaman dinosaur di Asia Barat (Andrew Kitchener, "The Natural History of Wild Cats"). Sulur-galur harimau kemudiannya berkembang di kawasan timur Asia di China dan Siberia sebelum berpecah dua, satunya bergerak ke arah hutan Asia Tengah ke barat dan baratdaya menjadi harimau Caspian. Sebahagian lagi bergerak dari Asia Tengah ke arah kawasan pergunungan barat, dan seterusnya ke Asia tenggara dan kepulauan Indonesia, sebahagiannya ke barat sehingga ke India (Hemmer,1987)
Dalam spesies harimau modern, terdapat lima sub-spesies harimau dalam Genus Panthera yang masih hidup pada masa sekarang dari jumlah asal lapan sub-spesies harimau moden. Tiga sub-spesies harimau yang selebihnya telah pun dianggap pupus secara rasmi.
Harimau Cina Selatan (amoy) atau Panthera tigris amoyensis, terdapat dikawasan hutan hujan dan kawasan padang rumput di tengah dan timur Cina.
Dianggarkan hanya terdapat 20 hingga 30 ekor harimau sub-spesies Panthera tigris tigris yang masih hidup liar, dan terdapat juga lebih kurang 47 ekor lagi yang dipelihara di dalam 19 zoo di Cina. Harimau Cina Selatan yang berada di dalam zoo bermula daripada enam ekor harimau liar dan mungkin masih tidak mencukupi untuk tujuan pengekalan baka disebabkan sumber kepelbagaian gen yang kecil. Harimau Cina Selatan merupakan harimau yang paling terancam dengan kepupusan.
Belang harimau Cina Selatan adalah lebih pendak tetapi lebar, dan berjarak lebih jauh diantara belangnya berbanding harimau Bengal. Harimau Cina Selatan jantan mempunyai panjang purata 2.5 meter (8 kaki) dari kepala hingga ke hujung ekor dengan berat purata 150 kilogram (330 paun). Harimau Cina Selatan betina pula berukuran 2.3 meter (7 1/2 kaki) panjang dengan berat 110 kilogram (240 paun).
Harimau Cina Selatan pada kebiasaannya memburu rusa, dan kerbau liar. Disebabkan jumlah harimau Cina Selatan yang tinggal terlalu sedikit, ia jarang kelihatan dan tidak banyak yang diketahui mengenai mereka pada masa sekarang. Pencerobohan kawasan yang dihuni oleh harimau Cina Selatan yang disebabkan oleh pembangunan, dan pertanian menyebabkan kewujupan harimau Cina Selatan semakin tertekan. Walaupun harimau dianggap sebagai haiwan yang perkasa dan menjadi lambang kegagahan dan keberanian, kesemua spesies harimau kini berhadapan dengan ancaman untuk terus hidup. Sekiranya tidak ada sesiapa yang bertindak untuk menyelamatkan mereka, harimau Cina Selatan akan tinggal nama sahaja dimasa akan datang.
Cina telahpun melaksanakan beberapa langkah pengekalan harimau Cina Selatan. Cina telah menyertai CITES pada tahun 1981, meluluskan undang-undang Perlindungan Hidupan Liar 1988, Menjemput pasukan GASP Harimau dari IUCN memeriksa harimau baka mereka dan prosedure pengurusan perubatan, untuk memastikan asal dan leluhur setiap harimau, dan menjalankan bengkel kerja analisa pengurusan populasi harimau. Dua hasil utama daripada kegiatan tersebut adalah Buku Baka Harimau Cina Selatan dan Plan Utama Harimau Cina Selatan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar