Sabtu, 25 Agustus 2012

Perkawinan Islam Untuk Melahirkan Generasi Islam




Perkahwinan Islam Tanpa Cinta?

Sebahagian daripada kandungan berita berjudul "Some MPs voice concern over possible loopholes" di akhbar tempatan, The Star, didapati amat menarik. Berita mengenai rang Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) yang dibahaskan di Dewan Rakyat pada hari Isnin 26 September 2005. Beberapa orang ahli Parlimen telah dilaporkan berucap dan sebahagian daripada ucapan seorang daripadanya adalah seperti berikut:



     Mohd Alwi berkata perkahwinan menurut Islam adalah untuk melahirkan anak dan memastikan kebahagiaan institusi keluarga.
     Walau bagaimanapun, perkahwinan, menurut nilai Barat adalah untuk mencari cinta.
    
"Mengapa TV3 menyiarkan Mencari Cinta? Menteri yang berkenaan harus menasihati TV3 supaya memberhentikan tayangan Mencari Cinta. Mengapa kita ada program yang mengikuti nilai-nilai Barat?" dia bertanya.


The Star, 27 Sept. 2005, muka 8
Demikian bunyi terjemahan kepada isi kandungan keratan akhbar bahasa Inggeris tersebut. Demikian juga bunyinya ucapan seorang penggubal undang-undang beragama Islam, mengenai Islam, di Parlimen, yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat daripada pelbagai kaum dan agama di negara kita.
Mungkin antara mereka tertanya-tanya di dalam hati setelah mendengar huraian mengenai cinta, perkahwinan dan Islam. Benarkah tiada cinta dalam perkahwinan Islam, tetapi hanya untuk melahirkan anak, dan kebahagiaan keluarga semata-mata?
Perasaan cinta dan pengasihan adalah kurniaan Allah yang sangat manis kepada manusia. Perasaan tersebut menjadi teras dalam perkahwinan, dalam mengambil antara satu sama lain, lelaki dan perempuan, sebagai teman-teman hidup, atau pasangan. Firman Allah,
"Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah bahawa Dia menciptakan untuk kamu, daripada diri-diri kamu sendiri, teman-teman hidup, supaya kamu berehat pada mereka, dan Dia mengadakan antara kamu, cinta dan pengasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi kaum yang memikirkan." (30:21)
Perasaan itu juga halal dialami terhadap perempuan-perempuan yang baru mengalami kematian suami-suami mereka. Adalah tidak bersalah untuk mengingat-ingati mereka (kerana cinta) tetapi kaum lelaki dilarang untuk memutuskan ikatan perkahwinan dengan mereka sehingga tempohnya sampai. Allah menjelaskan dengan lebih lanjut:
"Tidak ada kesalahan ke atas kamu mengenai lamaran kepada perempuan-perempuan (yang kematian suami - 2:234) yang kamu menawari, atau menyembunyikan di dalam diri kamu. Allah mengetahui bahawa kamu akan mengingat-ingati mereka, tetapi janganlah berjanji dengan mereka secara rahsia tanpa kamu mengucapkan perkataan yang baik, dan jangan kamu memutuskan untuk ikatan perkahwinan sehingga kitab (kepastian) sampai tempohnya;" (2:235)
Sebaliknya pula, orang-orang yang tidak mempunyai perasaan kasih sayang adalah mereka yang tidak percaya (kepada ayat-ayat-Nya lantas kepada-Nya jua) dan tidak membuat kerja-kerja kebaikan. Kepada mereka perasaan tersebut tidak diletakkan-Nya ke dalam hati mereka. Demikian difahamkan daripada sebuah Firman berbunyi,
"Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, kepada mereka Yang Pemurah akan meletakkan rasa kasih sayang." (19:96)
Maka perasaan cinta dan kasih sayang harus wujud dalam perkahwinan Islam. Perasaan tersebut tidak meminjam daripada budaya Barat tetapi hanya suatu pemberian daripada Tuhan Yang Pemurah.
Tidak, perkahwinan dalam agama Allah (yang menuruti Kitab al-Qur'an) adalah bukan semata-mata untuk mengadakan anak-anak atau kebahagiaan famili sahaja. Ia adalah juga untuk memberi kesejahteraan kepada anak-anak yatim dan apa yang tangan-tangan kanan memiliki. Dua ayat berikut menjelaskan:
"Jika kamu takut bahawa kamu tidak akan berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka kahwinilah perempuan-perempuan yang nampak baik bagi kamu, dua, dan tiga, dan empat; tetapi jika kamu takut bahawa kamu tidak akan berlaku adil, maka satu sahaja, atau apa yang tangan-tangan kanan kamu memiliki; maka ia lebih dekat bagi kamu untuk tidak membuat aniaya." (4:3)
"Mereka meminta satu keputusan kepada kamu mengenai perempuan. Katakanlah, 'Allah memutuskan kepada kamu mengenai mereka, dan apa yang dibacakan kepada kamu di dalam Kitab mengenai anak-anak yatim perempuan, yang kepadanya kamu tidak memberikan apa yang dituliskan (ditetapkan) untuk mereka, tetapi kamu ingin mengahwini mereka, dan kanak-kanak yang ditindaskan, dan supaya kamu menegakkan keadilan untuk anak-anak yatim. Apa sahaja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.'" (4:127)
Bukan sahaja untuk kesejahteraan anak-anak yatim dan yang tangan-tangan kanan memiliki, malah, untuk memberi kesejahteraan kepada perempuan-perempuan yang bersuami juga boleh menjadi sebab untuk berkahwin, contoh, mereka yang mukmin yang lari daripada suami-suami mereka yang tidak percaya (kafir). Namun, Allah mengenakan satu syarat, iaitu membayar balik kepada suami mereka apa yang telah dibelanjakan ke atas mereka. Firman Tuhan,
"Wahai orang-orang yang percaya, apabila wanita-wanita mukmin datang kepada kamu sebagai penghijrah, ujilah mereka. Allah sangat mengetahui keimanan mereka. Kemudian, jika kamu mengetahui bahawa mereka adalah wanita-wanita mukmin, janganlah kembalikan mereka kepada orang-orang yang tidak percaya (suami mereka). Mereka adalah tidak halal bagi orang-orang yang tidak percaya, dan tidak juga orang-orang yang tidak percaya halal bagi mereka. Berilah orang-orang yang tidak percaya apa yang mereka telah menafkahkan (membelanjakan); dan tiada kesalahan ke atas kamu untuk mengahwini mereka, apabila kamu memberi mereka upah mereka." (60:10)
Satu lagi bukti yang menolak dakwaan bahawa perkahwinan dalam Islam adalah hanya untuk melahirkan anak terdapat di dalam al-Qur'an. Di dalamnya tersurat sebuah ayat mengenai isteri yang mandul atas kehendak-Nya. Ayat tersebut berbunyi,
"Atau Dia menjodohkan mereka, lelaki dan perempuan; dan Dia membuat siapa yang Dia mengkehendaki mandul. Sesungguhnya Dia Mengetahui, Berkuasa." (42:50)
Akhir sekali, menyentuh mengenai perkahwinan Nabi pula. Daripada senarai perempuan-perempuan yang dihalalkan untuk baginda dapat difahamkan bahawa perkahwinan baginda adalah bukan untuk mendapatkan anak dan kebahagiaan keluarga sahaja. Masyarakat Islam mengetahui bahawa Nabi mempunyai empat isteri (ada yang kata lebih daripada itu) tetapi menghasilkan seorang sahaja anak yang hidup hingga dewasa.
Senarai yang dimaksudkan dicatat di dalam ayat al-Qur'an di bawah:
"Wahai Nabi, Kami telah menghalalkan untuk kamu 
  • isteri-isteri kamu yang kamu telah memberikan upah mereka, 
  • dan apa yang tangan kanan kamu memiliki, daripada rampasan perang yang Allah memberikan kamu, 
  • dan anak-anak perempuan bapa-bapa saudara kamu sebelah bapa kamu dan emak-emak saudara sebelah bapa, bapa-bapa saudara kamu sebelah ibu dan emak-emak saudara sebelah ibu, yang berhijrah bersama kamu, 
  • dan mana-mana perempuan yang mukmin, jika dia menyerahkan dirinya kepada Nabi dan jika Nabi menghendaki untuk mengahwininya, yang untuk kamu khasnya, bukan untuk orang-orang mukmin yang lain" (33:50)
Kemudian Allah menjelaskan lagi:
"Sesudah itu, perempuan-perempuan tidak dihalalkan untuk kamu, dan tidak juga kamu boleh menukar isteri-isteri kamu dengan mereka, walaupun kecantikan mereka menarik hati kamu, kecuali apa yang tangan kanan kamu memiliki; Allah menjagai atas segala sesuatu." (33:52)
Seperti yang dapat dilihat, kecantikan pada perempuan turut menjadi penyebab untuk mendirikan rumah tangga dengannya. Tidakkah agama Allah itu indah dan bahagia?
Maka apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat tadi - "perkahwinan menurut Islam adalah untuk melahirkan anak dan memastikan kebahagiaan institusi keluarga" - adalah tidak kena.
Lantaran itu, kami mencadangkan, kalau kami boleh buat cadangan, supaya tiap-tiap wakil rakyat (termasuk yang bukan Islam jika mereka mahu), selaku penggubal undang-undang negara, haruslah membaca Kitab Allah, al-Qur'an, sebelum mereka dicalonkan, demi untuk memelihara kesucian agama-Nya, serta menghapuskan gambaran negatif terhadap Islam, misalnya, Islam adalah sebuah agama yang tiada nilai cinta dan kasih sayang.
28 Sept 2005

Tidak ada komentar:

Posting Komentar